Khamis, 13 Disember 2012

Azian mencari hati untuk Qaseh



Azian mencari hati untuk Qaseh

Senyuman yang terukir di bibir mungil anak kecil seusia tiga tahun itu semakin pudar dan hambar. Dadanya berombak kencang seperti usai membuat larian pecut 100 meter. Qaseh menarik nafas dalam-dalam, tidak lama kemudian dia meronta kegatalan
“Garu kuat sikit mama. Qaseh tak rasa apa pun…” jeritnya di pagi yang hening. Azian Abdul Rahman, 39 tidak dapat menahan sabar. Sudah berjam-jam anak bongsunya itu merengek minta digaru pada bahagian-bahagian tubuh yang gatal dengan menggunakan belakang sikat.
Sungguh, dia tidak lagi mampu untuk menunaikan permintaan anaknya itu. Bimbang kulit nipisnya itu akan semakin parah dan terluka.
“Sabar Qaseh, mama dah garu kuat-kuat. Tak boleh kuat lagi, nanti Qaseh luka,” hatinya walang, air matanya mengalir perlahan. Tidak sanggup dia membiarkan emosi sebegitu menguasai diri. Apatah lagi, selama berhadapan dengan penyakit anak bongsunya itu, dia sebolehnya bersikap tabah dan tidak berputus asa.
“Qaseh gatal mama…” Ronta Siti Nur Qaseh semakin kuat. Azian memerhatikan bekas luka pembedahan pada perut anaknya itu. Hampir 15 cm panjangnya, hatinya pilu. Perut yang dahulunya rata semakin membuncit bak mangsa kebuluran di Afrika.
Warna kulit anaknya juga semakin kuning dan pucat. Azian tahu, dirinya perlu segera mencari penderma hati untuk anak kesayangannya itu. Tapi bagaimana? Dia semakin buntu.
Badan gatal-gatal
Lewat September lalu, si kecil Qaseh masih sihat dan mampu bermain dengan riang. Dua bulan selepas itu, penyakit Biliary Atresia yang berkaitan dengan hati menyerangnya kembali. Rentetan daripada itu, si kecil ini semakin kerap keluar masuk wad.
Badannya menjadi gatal-gatal, kulitnya mula menguning akibat fungsi hati yang semakin parah dan perutnya jadi membuncit. Kata doktor, penyakitnya itu tiada ubat melainkan ada penderma hati yang sanggup memberikan sebahagian hatinya kepada anak kecil itu.
“Saya tahu amat mustahil untuk saya mendapatkan penderma hati anak saya dalam masa terdekat ini. Teman senasib anak saya pun memerlukan masa berbulanbulan untuk menunggu. Tapi siapa tahu rezeki Qaseh baik dan ada insan bermurah hati di luar sana yang mahu menderma.
“Seandainya sudah tiba masanya dan tiada juga penderma, saya sanggup mendermakan hati saya untuknya. Sebab itulah saya perlu menjalani beberapa perkara termasuk menjaga kesihatan dengan baik. Lagi pula, penderma hati ini kena sihat tubuh badan dan tak boleh ada penyakit,” ujarnya yang sentiasa positif setiap kali berhadapan dengan keadaan anaknya itu.
Demam kuning berlarutan
Mengimbas tentang penyakit anaknya itu, Azian memaklumkan Qaseh lahir secara normal dan tidak berhadapan masalah. Sampailah seminggu selepas pulang dari hospital anaknya mengalami demam kuning dan ia berlarutan sehingga usianya 40 hari. Setelah diperiksa anaknya disahkan mengalami masalah hati.
Pada hari ke 50, Qaseh menjalani satu pembedahan. Ketika itu, anak sulungnya, Mohd Haziq Syawal, 19, mengambil alih tugas menjaga adiknya apabila dia perlu pulang untuk mengambil barang atau melihat anak keduanya, Siti Nur Balqis.
“Alhamdulillah selepas pembedahan tubuh Qaseh semakin pulih. Cuma antibodinya tidak kuat. Jangan ada yang demam, sebab dia akan berjangkit sama. Pemakanannya pun perlu dijaga. Sebolehnya saya cuba berikan makanan rebus. Sekali kala sahaja berikan makanan berlemak seperti santan.
“Qaseh juga tak boleh aktif sebab dia cepat penat dan mudah batuk. Tumbesarannya juga terbantut. Berat badannya tak sama seperti anakanak sebaya dia. Kadang kala saya sedih tengok keadaan dia, tapi saya cepat cepat tepis fikiran negatif itu.
“Saya tak mahu fi kir yang bukan-bukan. Saya percaya Qaseh ada peluang untuk hidup dengan baik walaupun doktor beritahu dia cuma boleh hidup sampai umur 15 tahun sahaja,” ceritanya lanjut.
Tapi tiada siapa menduga, selepas beberapa bulan Qaseh mula menunjukkan tahap kesihatan yang semakin merosot. Sememangnya Azian seorang ibu yang cukup tabah. Walaupun diduga dengan keadaan anak yang sakit, dirinya masih kelihatan ceria dan sentiasa tersenyum.
Melihat sifat cerianya itu, pasti tiada siapa yang dapat menebak dirinya sedang berhadapan dengan masalah yang cukup berat.
“Tatkala sedih saya tak tunjuk depan anakanak. Tapi bila saya sendirian, saya akan menangis sepuaspuasnya. Saya terfi kir juga hendak hantar Qaseh ke tadika dekat rumah saya ini tahun depan. Tapi bila dah jadi macam ini, terpaksalah saya tangguhkan hasrat itu,” katanya menutup bicara.
 

Tiada ulasan: